Kebangkitan politik Caesar Julius_Caesar

Pada 69 SM, Caesar dipilih sebagai quaestor. Pada tahun yang sama isteri pertamanya Cornelius telah meninggal dunia. Caesar yang bercita-cita untuk menambahkan pengaruh politiknya, telah mengambil kesempatan iaitu sewaktu pengkebumian isterinya untuk memuji bapa mertuanya, Cinna dan mendiang bapa saudaranya, Marius. Selepas itu, beliau mengahwini Pompeia, saudara kepada Jeneral terkenal Gnaeus Pompeius atau lebih dikenali sebagai Pompey. Dalam masa yang singkat Caesar telah menaiki tangga kerjaya politiknya. Bermula pada 65 SM, beliau dipilih sebagai curule aedile, pada 63 SM sebagai pontifex maximus, dan praetor pada 62 SM. Namun Caesar telah menggunakan pelbagai taktik kotor untuk mengembangkan pengaruh politiknya. Semasa menjadi aedile beliau telah mengelolakan beberapa temasya sukan yang hebat great games untuk menaikkan popularitinya dikalangan rakyat. Selain itu, beliau telah menggunakan politik wang untuk menyandang jawatan pontifex maximus dan praetor. Pada waktu ini, beliau telah menempa namanya sebagai seorang tokoh politik yang disanjungi oleh rakyat Rom. Parti Optimates mula bimbang dengan peningkatan Caesar dan cuba memburukkan beliau. Sewaktu menjadi pontifex maximus, Caesar telah didakwa dalam skandal perayaan Dewi yang Baik Good Goddess. Perayaan keagamaan ini hanya boleh disambut oleh golongan wanita tetapi sewaktu Caesar berkuasa, beliau membenarkan seorang lelaki untuk berada disana. Walaupun begitu, Caesar telah membayar rasuah yang banyak untuk terlepas dari tindakan undang-undang. Selepas skandal ini beliau telah menjadi muflis. Namun demikian, sahabat beliau Marcus Licinius Crassus, lelaki terkaya di Rom, telah membayar hutangnya yang lalu berjumlah 830 talents atau 17,500 kg wang perak. Selain itu beliau menceraikan isterinya Pompeia yang disyaki mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Dalam usaha untuk menutup skandal tersebut, pada 61 SM Caesar dihantar ke Andalusia, Sepanyol dan telah dilantik sebagai Gabenor disana. Di Cadiz, Sepanyol beliau melihat patung Iskandar Agung dan menangis kerana pada usia 30 tahun Iskandar berjaya mengetuai sebuah empayar yang luas manakala beliau hanya menjadi seorang Gabenor. Setahun kemudian beliau pulang ke Rom, dan bergabung tenaga dengan Crassus dan Pompey lalu membentuk perikatan tiga penjuru atau triumvirate yang pertama. Perikatan ini telah diperkukuhkan lagi apabila Pompey berkahwin dengan Julia, iaitu anak tunggal Caesar.

Cita-cita Caesar untuk menjadi orang nombor satu di Rom masih belum pudar. Pada 59 SM beliau dipilih pula sebagai seorang Konsul dan berkongsi kuasa dengan Konsul Bibulus. Tetapi Caesar jelas sekali lebih berpengaruh dari rakan sejawatannya, Bibulus sehinggakan konsulnya dikenali sebagai konsul Julius dan Caesar. Dalam tahun yang sama beliau berkahwin dengan Calpurnia, anak perempuan Piso iaitu rakan karib Crassus . Pada tahun berikutnya, Caesar dilantik sebagai Gabenor Roman Gaul. Lapan tahun selepas itu, bala tentera dibawah pimpinan Caesar telah berperang dan berjaya menakluki Gallic Gaul di sebelah utara. Pada 58 SM bala tenteranya berjaya menewaskan serta menakluki Germanik (Jerman) dan Konfederasi Helvetia (Switzerland). Tiga tahun kemudian, beliau serta tenteranya telah menyeberangi sungai Rhine untuk menceroboh Britain. Pada 49 SM, Caesar telah diarahkan oleh Senat untuk meletakkan senjatanya kerana penggalnya sebagai Konsul telah tamat. Pada waktu itu politik di Rom sedang mengalami zaman perubahan setelah Crassus terbunuh pada 53 SM, dan perlantikan Pompey sebagai Konsul yang baru pada 52 SM. Ini ditambah pula dengan kematian isteri Pompey, Julia, pada 54 SM, yang memutuskan hubungan kekeluargaan antara Pompey dan Caesar. Pompey yang berazam untuk menamatkan karier politik Caesar, bersama-sama dengan ahli Senat yang lain telah melarang Caesar dari bertanding untuk jawatan Konsul untuk kali yang kedua. Namun demikian, Caesar masih meneruskan kempen ketenteraannya dan pada 52 SM beliau mengetuai bala tenteranya dalam pertempuran Alesia di Perancis.

Perang Saudara Rom

Pada 10-11 Januari, 49 SM, Caesar dengan hanya satu platun legion (satu legion terdiri daripada 5000 orang tentera) telah menyeberangi Rubicon, sebuah sungai kecil yang memisahkan Gaul dari Itali. Tindakannya itu menandakan mulanya Perang Saudara Rom II atau juga dipanggil Perang Saudara Caesar. Pada waktu itu, sebahagian besar tentera Rom berada di Andalusia. Kumpulan Optimates yang termasuk Metellus Scipio dan Cato yang Muda, telah lari ke selatan tanpa menyedari bahawa Caesar disokong oleh bala tentera yang kecil.

Dalam masa tiga bulan Pompey meninggalkan Rom, dan Caesar menerajui seluruh Itali. Walaupun begitu beliau masih mahu menamatkan pengaruh Pompey. Langkahnya yang seterusnya ialah untuk menghancurkan konco-konco Pompei yang berada di Andalusia (sekarang Sepanyol). Dalam gerakan kilat iaitu 27 hari, tentera di bawah pimpinannya telah berarak ke Andalusia dan menewaskan kesemua leftenan-leftenan Pompei di sana. Beliau kemudiannya menakluki Sepanyol dan menuju ke timur untuk menentang Pompey di Yunani. Pada 10 Julai, 48 SM di Dyrrhachium Caesar hampir-hampir menemui kekalahan yang teruk. Namun di Pharsalus, beliau bersama tentera Mark Antony dengan mudahnya menumpaskan bala tentera Pompey, yang dua kali ganda lebih ramai dari tenteranya.

Selepas kejayaan ini, Caesar kembali ke Rom dan ditabalkan sebagai diktator Rom, dengan Mark Antony sebagai Tuan Kuda Master of the Horse. Namun selepas sebelas hari sahaja, beliau meletak jawatan diktatornya dan dipilih sekali lagi sebagai Konsul bagi penggal yang kedua. Publius Servilius Vatia Isauricus telah dilantik sebagai naib-Konsul. Walaupun beliau dapat merampas kembali pangkat Konsulnya, Caesar gagal menawan musuhnya yang ketat iaitu Pompey.

Oleh itu beliau mengejar Pompey hinggalah ke Iskandariah, Mesir. Malangnya musuhnya itu telah dibunuh oleh seorang pegawai Raja Ptolemy XIII. Walaupun Caesar bermusuhan dengan Pompey, pembunuhannya itu dianggap sebagai penghinaan bagi Rom. Malah telah dilaporkan bahawa beliau berlinang airmatanya apabila melihat kepala Pompey, yang dipersembahkan kepadanya sebagai hadiah oleh Pothinus iaitu pegawai penyelenggara istana Ptolemy XIII. Selepas pembunuhan Pompey, beliau menuntut hutangnya berjumlah 40 juta sesterces daripada kerajaan Mesir bagi sokongan ketenteraannya beberapa tahun sebelumnya kepada ayahanda Ptolemy XIII iaitu Raja Ptolemy XII.

Caesar di Mesir

Ketika itu Mesir sedang dilanda perang saudara antara Raja Ptolemy XIII dengan kakaknya Cleopatra. Mesir berada dibawah pemerintahan Ptolemy XIII, manakala kakaknya terpaksa memerintah dalam buangan. Pada September 48 SM, ketika Cleopatra mengumpulkan bala tentera semasa dalam buangan, Caesar tiba ke Pelabuhan Iskandariah untuk menuntut hutang ayahanda Cleopatra, Ptolemy XII serta membalas dendam bagi kematian Pompey.

Cleopatra berjumpa Caesar ketika beliau berlabuh, rusuhan anti-Rom berlaku di pelabuhan Iskandariah. Walau bagaimanapun, Caesar bukanlah orang yang mudah ditakutkan. Beliau mendiami istana diraja, menuntut hutang dan meminta perbalahan keluarga diraja untuk dihentikan. Untuk itu, Cleopatra dan adiknya diminta untuk datang menghadapnya. Demi mengelakkan diri daripada tentera adiknya, Cleopatra menyembunyikan diri di dalam permaidani dan menyeludup masuk berjumpa Caesar.

Pada keesokan paginya, Julius Caesar membuat dekri (perjanjian) agar kakak dan adik memerintah Mesir dengan damai. Beberapa minggu kemudian, segalanya berjalan lancar. Julius Caesar sempat berehat dan menikmati suasana Iskandariah yang aman dan ceria. Walau bagaimanapun, keamanan tidak bertahan lama apabila adik Cleopatra, Ptolemy XIII mencetuskan perang saudara yang sengit. Oleh itu, Caesar terjebak pula dengan perang saudara yang dipanggil Perang Iskandariah Alexandrine War di Mesir. Perang itu berlarutan selama berbulan-bulan, antara pakatan tentera Cleopatra - Julius Caesar dengan tentera Ptolemy. Akhirnya pakatan ini menang dan Ptolemy XIII yang hanya berusia 10 tahun itu mati lemas di sungai Nil. Dengan kemenangan itu, Cleopatra telah ditabalkan sebagai Permaisuri Mesir. Semasa Caesar berada di Mesir, beliau telah jatuh cinta dengan Cleopatra tetapi perkahwinannya dengan seorang bukan rakyat Rom adalah dilarang. Namun, permaisuri itu telah melakukan perhubungan sulit dengan Caesar dan melahirkan anak lelaki beliau yang bernama Caesarian.

Bersambungnya Perang Saudara Rom

Selepas berada di Mesir, Caesar berlepas ke Timur Tengah pada 47 SM, dimana beliau menghapuskan Raja Pharnaces II dari Pontus dalam perang di Zela. Kemenangannya begitu pantas sehinggakan beliau mengucapkan Veni, Vidi, Vici ("Kudatang, Kulihat, Kutawan"). Beliau kemudian meneruskan kempennya ke Afrika untuk menewaskan saki-baki penyokong Pompey. Pada 46 SM bala tentera beliau berjaya menewaskan tentera Metellus Scipio (yang terbunuh sewaktu perang) dan Cato yang Muda (yang membunuh diri). Namun demikian anak beranak Pompey iaitu Gnaeus Pompeius dan Sextus Pompeius, berjaya melarikan diri ke Andalusia. Caesar mengejar mereka dan menghapuskan semua penentangnya di Munda pada bulan Mac 45 SM.